Oleh itu, boleh dilihat bahawa 60 peratus daripada tubuh
manusia adalah air dan sebahagian besar daripada jumlah air itu terdapat di
dalam sel manusia. Selain itu, hampir 71 peratus muka bumi dipenuhi air. Bukan
sahaja di laut, air juga wujud di dalam udara (wap air), sungai, tasik, tukup
ais, glasier, tanah dan akuifer.
Malah, melalui kitaran air, air di planet bumi ini bergerak
secara tetap dari satu tempat ke tempat lain dan tanpa kitaran ini, bumi akan
hilang ‘nyawanya’. Jelas, air adalah nadi kehidupan.
Dari satu segi, air amat penting demi kelangsungan hidup
manusia. Air digunakan dalam hampir setiap aspek kehidupan manusia. Bukan
sahaja untuk minum, air juga digunakan dalam pelbagai bentuk kegiatan harian
manusia seperti membasuh, mandi, beribadat dan sebagainya.
Selain kegunaan domestik, air juga penting dalam kegiatan
ekonomi seperti perindustrian, perkilangan dan pengangkutan. Malah, air juga
memungkinkan penjanaan tenaga elektrik berlaku di empangan-empangan.
Dari sudut lain, air juga boleh membawa kemusnahan kepada
manusia. Kemusnahan ini terjadi apabila berlakunya masalah banjir, banjir
lumpur mahupun pencemaran air di sungai serta hujan asid.
Walau bagaimanapun, perlulah ditegaskan di sini bencana yang
disebutkan itu hanya akan berlaku apabila manusia sendiri gagal menguruskan air
dan alam persekitaran dengan baik.
Apabila manusia tidak menjaga kebersihan, membiarkan sampah
bertaburan tanpa diurus, menebang pokok secara rakus, menggondolkan tanah tanpa
belas kasihan, membebaskan bahan cemar ke air tanpa rasa bersalah, membangunkan
kawasan tanpa perancangan yang bijak dan mesra alam, maka ketika itulah air
membawa malapetaka kepada kehidupan manusia.
Namun adakah manusia sedar akan hakikat kepentingan air?
Adakah mereka tahu bahawa bukan mudah untuk memperoleh air bersih? Adakah
mereka mengakui untuk mendapatkan air, maka alam sekitar secara keseluruhannya
perlu dipelihara dan dipulihara? Dan adakah mereka insaf dengan kenyataan
bahawa manusialah agen perosak kualiti dan kuantiti air yang paling aktif?
Apabila melihat kepada kemusnahan sumber air masa kini,
persoalan tentang kesedaran kepentingan air dan persoalan menghargai air
seolah-olah telah dijawab. Kenyataannya, tidak ramai yang sedar tentang
kepentingan sumber air. Apabila tiada kesedaran, maka mampukah mereka
menghargai sumber anugerah Ilahi itu? Saban hari ada sahaja berita tentang
kemusnahan sumber air.
Misalnya, pada awal Mac 2015, dilaporkan tentang pencemaran
air di Cameron Highlands yang berpunca daripada penerokaan tanah secara tidak
terkawal dan penggunaan racun perosak yang diharamkan. Begitu juga dengan
pencemaran air di perairan pantai Batu Feringghi yang berpunca daripada
pembuangan sisa restoran, pusat membasuh kereta dan kedai dobi. Kes ini
dibangkitkan sejak awal 2014 lagi dan sehingga kini usaha-usaha menyelamatkan
kawasan peranginan itu masih giat dilaksanakan.
Dua contoh di atas adalah sebahagian daripada kes-kes yang
dilaporkan. Namun, dipercayai masih terdapat banyak kes yang tidak dilaporkan
dan pastinya ini menimbulkan kebimbangan kepada semua. Sampai bila hal ini
harus berlaku dan sampai bila kita akan bersikap sambil lewa terhadap air yang
menjadi sumber kelangsungan hidup?
Sikap tidak acuh ini sebenarnya menggambarkan nilai kita
terhadap sumber air tersebut. Walaupun manusia amat memerlukan air, namun kita
meletakkan nilai yang amat rendah terhadap sumber berkenaan. Malah dalam banyak
keadaan kita menilai air mahupun sumber alam yang lain berdasarkan kepentingan
diri manusia semata-mata.
Misalnya, manusia memerlukan air untuk minum maka air itu
penting. Namun, air bukan semata-mata untuk manusia. Terdapat makhluk lain di
bumi ini yang juga bergantung kepada air untuk kelangsungan hidup. Namun,
berapa ramai yang menyedari hakikat ini?
Oleh itu, membentuk nilai yang betul terhadap alam sekitar
amatlah penting. Nilai di sini bukan sahaja merujuk kepada nilai alam dan
sumbernya yang boleh digunakan oleh manusia tetapi nilai yang melihat alam
serta isinya sebagai ciptaan Allah SWT dan mempunyai hak untuk mendiami bumi
sama seperti manusia. Jika manusia tunduk patuh kepada Allah SWT, alam dan isinya
juga begitu.
Ini ditunjukkan dalam ayat 18, surah al-Hajj (22), yang
maksudnya; Tidakkah engkau melihat semua yang berada di langit dan bumi, juga
matahari, bulan, bintang, gunung-ganang, pokok-pokok dan haiwan serta ramai
manusia bersujud kepada Allah.” Maka, adakah wajar kita merampas hak alam dan
isinya itu?
Maka, sesuatu perlu dilakukan bagi memastikan kuantiti dan
kualiti air berada pada tahap yang tertinggi sehingga boleh digunakan oleh
manusia dan makhluk hidup lain dalam generasi ini mahupun generasi akan datang.
Bagi tujuan itu, perubahan cara hidup masa kini perlu dilakukan segera dan
harus dilakukan secara bersama bagi memastikan kesan yang signifikan.
Salah satu perubahan adalah perubahan mikro yang melibatkan
pengguna secara langsung. Dianggarkan setiap orang menggunakan antara 300
hingga 350 liter air sehari. Jika jumlah ini didarabkan dengan jumlah penduduk
dunia yang mencecah tujuh bilion, maka boleh dibayangkan betapa banyak air
diperlukan oleh manusia dalam sehari.
Dengan itu, pengguna hendaklah memberi tumpuan kepada
pengurangan dan penjimatan serta mengamalkan penggunaan berhemah. Tahukah anda
bahawa mengepam tandas dicatatkan sebagai aktiviti yang paling banyak
menggunakan air di rumah dan ini diikuti dengan penggunaan air untuk mandi?
Atas alasan inilah maka pada masa kini, tandas jimat air dan ruang mandi
(pancuran air) menjadi fokus utama pemuliharaan air di rumah.
Perubahan makro, iaitu perubahan pada skala besar pula
memerlukan perancangan teliti serta kerjasama semua pihak. Dalam konteks ini,
alam seharusnya dilihat sebagai satu sistem yang besar dan rencam. Oleh itu,
satu-satu pembangunan dirancang mesti boleh menjangkakan kesan alam sekitar
bukan sahaja di tapak pembangunan tetapi merangkumi perubahan persekitaran
tapak pembangunan secara menyeluruh.
Ini kerana pembangunan tanah di satu kawasan sebenarnya
boleh memberi impak bukan sahaja terhadap kawasan tanah tersebut tetapi turut
memberi kesan kepada sumber lain seperti air dan udara.
Sebagai kesimpulan,
perubahan adalah kata kuncinya di sini. Oleh itu, marilah sama-sama kita
berubah untuk memastikan kesejahteraan sumber air.
SUMBER: http://www.utusan.com.my/rencana/menghargai-air-sebagai-sumber-kehidupan-1.69799
No comments:
Post a Comment