Saturday, 14 May 2016

PENCEMARAN AIR DI MALAYSIA

Pencemaran sungai di Malaysia  bukanlah satu perkara baru dalam senario isu alam sekitar dimalaysia, selama bertahun-tahun kita bergelumang dengan isu yang semakin klise dan menghampakan kita semua. Keghairahan Malaysia mengejar pembangunan dan tingkat ekonomi negara maju sehingga kita mengorbankan anugerah alam yang tiada ternilai harganya Kualiti air sungai-sungai di Malaysia semakin terancam dengan pencemaran. Pada umumnya, setiap sungai di negaraini dikategorikan kepada lima kelas iaitu;

Kelas 1- airnya boleh terus diminum tanpa rawatan
Kelas 2 – airnya memerlukan rawatan biasa
Kelas 3 – air nampak bersih, tidak berbau, tetapi kualitinya tercemar dan orang ramai tidak boleh berenang tetapi boleh berkelah di tebing
Kelas 4 – tercemar
Kelas 5 – hampir mati*
*Bagi Kelas 4 dan 5, keadaan air antara lain berbau busuk dan berwarna hitam.

Senario semasa di Malaysia menunjukkan, bilangan sungai yang berada dalam kategori Kelas 1 dan Kelas 2 semakin berkurangan tetapi yang dikategorikan dalam Kelas 4 dan Kelas 5 semakin meningkat. Perkembangan ini memang dijangka selaras dengan pembangunan pesat yang dialami oleh negara selain mentaliti masyarakat yang masih rendah dalam usaha memelihara dan memulihara alam sekitar. Pada tahun 1976, analisis awal data kualiti air sungai menunjukkan terdapat 42 batang sungai yang teruk tercemar, 16 sederhana tercemar sementara 7 lagi berpotensi untuk tercemar. Antara sungai yang teruk tercemar ialah Sungai Kelang, Sungai Juru,Sungai Skudai dan Sungai Melaka.

Laporan Kualiti Alam Sekeliling 1997 dan Jabatan Alam Sekitar menunjukkan bilangan sungai yang dikategorikan sebagai ‘bersih’ telah berkurangan sebanyak 43 peratus dari tahun 1996 ke 1997. Dalam tempoh yang sama, bilangan sungai yang tercemar pula telah bertambah sebanyak hampir sekali ganda daripada 13 batangpada 1996 kepada 25 batang pada 1997.Rentetan daripada itu, Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar telah memperuntukkan bajet berjumlah RM250 juta untuk membiayai projek pembersihan dan pengindahan sungai dalam Rancangan Malaysia Ke-8. Sebagai contoh, di Selangor sahaja, daripada 26 sungai utama yang menjadi sumber air kepada penduduk Lembah Klang, hanya lapan sahaja yang dikategorikan bersih manakala tujuh buah sungai dikategorikan mati dan selebihnya dikelaskan sederhana tercemar.

Pada tahun 2007 pula, Sebanyak 16 batang sungai di negara ini dikategorikan sebagai tercemar dan ‘hampir mati’. Lokasi kebanyakan sungai tersebut sungai tersebut berada di Pulau Pinang, Kuala Lumpur, Selangor dan Johor. Kos bagi memulihkan setiap batang sungai tersebut dianggar memerlukan kos antara RM100 juta hingga RM400juta bergantung kepada panjang sungai tersebut, bentuk pencemarannya dan aspek pemulihan yang hendak dijalankan (Utusan Malaysia, 4 Februari 2007).


SUMBER: https://thelisterine.wordpress.com/2011/05/02/128/

Friday, 13 May 2016

PENCEMARAN AIR DISEBABKAN OLEH KEGIATAN MANUSIA

Punca utama pencemaran air ialah bahan buangan domestik. Bahan-bahan buangan domestik yang terdiri daripada sampah sarap dan bahan kumbahan dibuang sewenangwenangnya ke dalam sungai. Bahan kumbahan disalirkan ke dalam parit dan sungai sebagai cara termudah menanganinya. Sampah organik mereput dan diuraikan oleh bakteria dengan oksigen yang terlarut di dalam air. Ini mengakibatkan kekurangan oksigen dalam air yang menggugat kehidupan akuatik.

Kilang-kilang juga dianggap sebagai punca pencemaran air yang utama. Kebanyakan kilang dibina di sepanjang sungai untuk memastikan bahan-bahan buangan disalirkan ke dalam sungai-sungai berkenaan. Masalah timbul apabila cecair kimia yang disalurkan ke dalam sungai tidak dirawat dan mengandungi bahan toksikyang mencemarkan air sungai. Kebanyakan kilang membuang sisa cecair dan pepejal ke dalam sungai yang mengakibatkan sungai tercemar. Irni biasanya dikaitkan dengan bahan agrokimia.

Pertanian juga dikenal pasti sebagai punca pencemaran air. Pengilangan hasil-hasil pertanian menghasilkan banyak bahan kimia cecair yang disalirkan ke dalam sungaisungai. Hampas-hampas organik yang menjadi bahan buangan pemprosesan dibuang ke dalam sungai. Selain itu, penggunaan baja, pestisid dan insektisid untuk membunuh haiwan perosak mencemarkan sumber air. Ini menghalang penembusan cahaya ke bawah permukaan air dan mengakibatkan kematian tumbuh-tumbuhan dan haiwan-haiwan akuatik.

Selain itu, industri perlombongan juga tidak kurang penting dalam mengakibatkan pencemaran air. Can gali petroleum di dasar laut dan tumpahan minyak adalah antara bukti nyata. Penggerudian perigi-perigi minyak dan letupan tangki minyak menyumbang kepada gejala ini. Apabila minyak ini bercampur dengan air laut atau sungai, is akan mengakibatkan air tercemar. Ini memberi kesan kepada kehidupan air seperti tumbuh-tumbuhan dan haiwan akuatik yang seterusnya menjejaskan sumber protein manusia.

Bahan-bahan buangan radioaktif dan ujian-ujian bom dan nuklear di laut-laut juga menyumbang kepada pencemaran air. Banyak bahan buangan radioaktif yang terhasil dani makmal-makmal dan buangan hospital yang mengandungi sisa-sisa toksik larut dalam air serta mencemarkan air sungai dan laut. Stesen-stesen nuklear juga menyalirkan bahan buangan ke dalam sungai yang mengakibatkan sungai tercemar. Ujian-ujian bom di laut juga menyumbang kepada pencemaran air laut.

Wednesday, 4 May 2016

AIR: RAHMAT YANG DIABAIKAN

Air merupakan anugerah Allah s.w.t. yang amat berharga di dalam kehidupan manusia, tanpanya semua hidupan akan mati. Menurut Kamus Dewan, air boleh didefinasikan sebagai cecair yang terbentuk daripada dua bahagian hidrogen dan satu bahagian oksigen. Secara geografinya, air yang digunakan oleh manusia berpunca daripada air hujan.
Air adalah anugerah Allah yang sangat bernilai kepada seluruh hidupan di mukabumi ini. Air adalah satu sumber keperluan asas yang sangat penting kepada manusia. Manusia mungkin masih boleh hidup dengan selesa selama beberapa hari tanpa elektrik, komputer, internet dan apa-apa sahaja tetapi tidak tanpa air. Krisis air di Lembah Kelang yang melanda negara pada tahun 1998 dan awal tahun 2002 yang lalu adalah bukti jelas bahawa betapa pentingnya air di dalam kehidupan kita. Krisis ini banyak membuka mata masyarakat dan kerajaan tentang kepentingan air.
Kepentingan air kepada kehidupan dan alam seluruhnya memang tidak dapat dinafikan. Sebagai sumber asli yang paling berharga, air diperlukan sebagai kegunaan asasi dan dapat dimanfaatkan bagi tujuan pelbagai aspek kehidupan. Tanpa air, kita mungkin tidak dapat menikmati dan meneruskan penghidupan ini dengan selamat, selesa dan sempurna.
Akrabnya manusia dan segala makhluk yang bernyawa di alam ini dengan air telah diterangkan oleh Allah dalam al Quran:
"Dan daripada air Kami jadikan segala sesuatu yang hidup, maka mengapakah mereka tiada juga beriman"
Surah al Anbia' : 30
Sebagai sumber yang sangat bermanfaat, air dapat digunakan bagi melaksanakan pelbagai aktiviti kehidupan. Bagi memenuhi keperluan harian, air digunakan sebagai minuman, mencuci, mandi dan keperluan-keperluan lain seperti membersihkan halaman, persekitaran dan menyuburkan tanaman-tanaman. Usaha memanfaatkan air seumpama ini sudah setentunya dapat meningkatkan taraf kehidupan yang sihat sejahtera dan dapat mengelakkan dari segala kekotoran, pencemaran dan penyakit.
Dalam melaksanakan projek-projek pembangunan, air sangat diperlukan di sektor-sektor pertanian, perikanan, perkilangan dan industri-industri lain. Air juga dapat dijadikan sumber ekonomi seperti menjadikannya sebagai minuman yang dibotolkan atau ditinkan, tambahan kepada jus buah-buahan, pencair, pewarna atau sebagai bahan untuk dibuat kajian saintifik. Malah air juga berguna bagi bahan-bahan konkrit untuk membina rumah dan bangunan.
Dari pelbagai sumber air yang ada di muka bumi ini, air sungai dan laut dapat menjadi penyumbang rezeki dan makanan laut yang banyak dan beraneka. Sebagai sumber asli yang meliputi persekitaran, air juga digunakan bagi pengaliran di saluran pembentung-pembentung dan parit-parit serta kawasan tertentu untuk mengelak banjir. Di empangan-empangan air, air juga terus dipelihara dari segi kebersihan, kesihatan dan keselamatannya untuk dapat digunakan. Sebagai air bersih yang terjamin, air digunakan dalam pelbagai cara seperti sebagai pencuci dan membersihkan produk-produk dan hasil-hasil perindustrian dan perusahaan.
Sebagai sumber yang dapat menambah keindahan tempat-tempat rekreasi dan tarikan pelancong, air memainkan peranan penting bagi sesebuah tasik, air terjun atau pantai. Memajukan tempat-tempat seumpama ini bukan saja dapat mengekalkan keindahan alam sekitar yang ada, malah dapat dinikmati bagi memenuhi keperluan dan pembangunan sosio-ekonomi.
Air dan Ilmu Pengetahuan
Di antara ilmu pengetahuan yang berkait langsung dengan air ialah hidrologi. Hidrologi ialah kajian ke atas hidrosfera dan proses-proses pergerakan bentuk-bentuk air di dalam sistem bumi-atmosfera. Secara ringkas, kebanyakan ahli-ahli hidrologi berpendapat bahawa teras hidrologi ialah kajian terhadap 'kitaran hidrologi', iaitu pusingan air (dalam berbagai bentuk - cecair [air], wap [wap air] dan pepejal[ais]). Ahli-ahli hidrologi sentiasa berminat terhadap air sebagai satu sumber yang teragung yang diperlukan oleh semua makluk hidup. Dengan kepentigan air untuk fungsi-fungsi biologi yang tidak dapat dinafikan, ilmu hidrologi juga tertumpu kepada peranan air di dalam sistem bumi-atmosfera. Air mempunyai banyak kepentingan dan fungsi. Air adalah diperlukan untuk: (i) Air Untuk Manusia (ii) Air Untuk Hidupan Lain (iii) Air Untuk Menghasilkan Makanan (iv) Air Untuk Alam Sekitar.
Selain itu, kajian hidrologi adalah tertumpu kepada Air Untuk Alam Sekitar di mana air diperlukan untuk: sfera bumi, hidupan akuatik, hidupan terrestrial/daratan, pemindahan tenaga, penghasilan hujan (air tawar), pemuliharaan/perlindungan hutan, pengawalan aras laut, pembalikan bahangan suria, pengawalan bencana alam, penyerapan dan penyimpanan tenaga haba, pengawalan suhu, air bawah tanah, pengurangan bahan-bahan pencemaran, dan mengekalkan bumi sebagai 'dunia air'.
Air dan Manusia
Jika ditinjau dari segi sejarah, air telah lama digunakan untuk pembangunan. Ini terbukti dengan wujudnya tamadun-tamadun silam di sekitar sungai yang menjadikan tanah tersebut subur dan dibangunkan. Sebagai contoh, tamadun Mesir di sepanjang Sungai Nil, tamadun China purba di Sungai Kuning dan tidak kurang juga penempatan awal di Tanah Melayu adalah di tepi sungai dan dipersisiran pantai.
Air juga merupakan bahan mentah yang penting dalam kebanykan bidang industri dan perusahaan. Contohnya seperti dalam industri pemakanan dan industri pembangunan. Pengeksploitasian air sebagai sumber semula jadi yang mudah didapati ternyata boleh mendatangkan pulangan kepada negara dalam bidang ekonomi dan pembangunan. Pembinaan empangan-empangan juga membolehkan air untuk digunakan untuk menjana kuasa elektrik.
Di dalam sektor perindustrian, penggunaan air semakin kompleks. Dalam usaha menuju negara maju, keperluan air perlu sejajar dengan kepesatan industri moden. Begitu juga jika dilihat keperluan air di bidang pertanian. Secara amnya, tumbuh-tumbuhan memerlukan kuantiti air yang mencukupi. Contohnya sawah padi, memerlukan sistem pengairan yang sistematik. Kawasan ladang, kebun sayur, hutan-hutan dan lain-lain bergantung penuh kepada air untuk hidup subur.
Sektor pertanian merupakan salah satu sektor yang paling banyak bergantung kepada sumber air. Tanpa bekalan air yang cukup, sektor tersebut akan lumpuh dan boleh membawa kepada fenomena kebuluran seperti yang kita lihat terjadi di negara-negara yang bergantung kepada hasil pertanian yang ditimpa kemarau panjang.
Selain daripada itu, air juga penting dalam pembangunan rohaniah. Kita memerlukan air untuk bersuci bagi membolehkan kita beribadat kepada Allah s.w.t. Dalam keadaan bersih dan suci, kita akan menjadi lebih tenang dan khusyuk serta tawaduk untuk beribadat kepada-Nya. Di samping itu, penciptaan yang berkaitan dengan air seperti hujan, sungai, telaga, air terjun dan sebagainya merupakan dalil kebesaran Allah bagi orang-orang yang berfikir.
Oleh kerana air merupakan sumber semula jadi yang amat penting, adalah wajar bagi kita untuk menjaga dan mengelakkan sumber-sumber air daripada tercemar oleh sisa-sisa pembangunan, sedangkan air itu sendiri yang telah banyak membantu dalam pembangunan negara. Sambutan Hari Air Sedunia pada 22 Mac yang disambut setiap tahun bermula pada tahun 1993, telah menampakkan keprihatinan warga global dalam sama-sama menangani dan memata-matai penggunaan dan penjagaan sumber air. Adalah diharapkan agar usaha ini akan berterusan sehingga masa-masa akan datang. Jimatkan penggunaan air kerana air tidak ternilai harganya dan merupakan sebahagian daripada nyawa kita. Allah juga telah mengingatkan kita supaya jangan berlebih-lebihan atau membazir dalam menjalankan apa-apa aktiviti, sebagaimana firman Allah:
".dan janganlah kamu berlebih-lebihan. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berlebih-lebihan."
Surah al An'am : 141

SUMBER: http://www.ikim.gov.my/index.php/ms/artikel/7171-air-rahmat-yang-diabaikan

Tuesday, 3 May 2016

MENGHARGAI AIR SEBAGAI SUMBER KEHIDUPAN

AIR adalah sumber penting dalam kehidupan. Di dalam al-Quran, ayat 30, surah al-Anbiya’ menjelaskan dengan maksudnya: “... dan Kami jadikan dari air, tiap-tiap benda yang hidup, maka mengapa kamu tidak mahu beriman? Ayat ini menunjukkan betapa air memainkan peranan yang penting dalam kejadian pelbagai makhluk Allah SWT dan untuk itu makhluk tersebut juga berhajat terhadap air.

Oleh itu, boleh dilihat bahawa 60 peratus daripada tubuh manusia adalah air dan sebahagian besar daripada jumlah air itu terdapat di dalam sel manusia. Selain itu, hampir 71 peratus muka bumi dipenuhi air. Bukan sahaja di laut, air juga wujud di dalam udara (wap air), sungai, tasik, tukup ais, glasier, tanah dan akuifer.

Malah, melalui kitaran air, air di planet bumi ini bergerak secara tetap dari satu tempat ke tempat lain dan tanpa kitaran ini, bumi akan hilang ‘nyawanya’. Jelas, air adalah nadi kehidupan.
Dari satu segi, air amat penting demi kelangsungan hidup manusia. Air digunakan dalam hampir setiap aspek kehidupan manusia. Bukan sahaja untuk minum, air juga digunakan dalam pelbagai bentuk kegiatan harian manusia seperti membasuh, mandi, beribadat dan sebagainya.
Selain kegunaan domestik, air juga penting dalam kegiatan ekonomi seperti perindustrian, perkilangan dan pengangkutan. Malah, air juga memungkinkan penjanaan tenaga elektrik berlaku di empangan-empangan.

Dari sudut lain, air juga boleh membawa kemusnahan kepada manusia. Kemusnahan ini terjadi apabila berlakunya masalah banjir, banjir lumpur mahupun pencemaran air di sungai serta hujan asid.
Walau bagaimanapun, perlulah ditegaskan di sini bencana yang disebutkan itu hanya akan berlaku apabila manusia sendiri gagal menguruskan air dan alam persekitaran dengan baik.
Apabila manusia tidak menjaga kebersihan, membiarkan sampah bertaburan tanpa diurus, menebang pokok secara rakus, menggondolkan tanah tanpa belas kasihan, membebaskan bahan cemar ke air tanpa rasa bersalah, membangunkan kawasan tanpa perancangan yang bijak dan mesra alam, maka ketika itulah air membawa malapetaka kepada kehidupan manusia.

Namun adakah manusia sedar akan hakikat kepentingan air? Adakah mereka tahu bahawa bukan mudah untuk memperoleh air bersih? Adakah mereka mengakui untuk mendapatkan air, maka alam sekitar secara keseluruhannya perlu dipelihara dan dipulihara? Dan adakah mereka insaf dengan kenyataan bahawa manusialah agen perosak kualiti dan kuantiti air yang paling aktif?

Apabila melihat kepada kemusnahan sumber air masa kini, persoalan tentang kesedaran kepen­tingan air dan persoalan menghargai air seolah-olah telah dijawab. Kenyataannya, tidak ramai yang sedar tentang kepentingan sumber air. Apabila tiada kesedaran, maka mampukah mereka menghargai sumber anugerah Ilahi itu? Saban hari ada sahaja berita tentang kemusnahan sumber air.
Misalnya, pada awal Mac 2015, dilaporkan tentang pencemaran air di Cameron Highlands yang berpunca daripada penerokaan tanah secara tidak terkawal dan penggunaan racun perosak yang diharamkan. Begitu juga dengan pencemaran air di perairan pantai Batu Feringghi yang berpunca daripada pembuangan sisa restoran, pusat membasuh kereta dan kedai dobi. Kes ini dibangkitkan sejak awal 2014 lagi dan sehingga kini usaha-usaha menyelamatkan kawasan peranginan itu masih giat dilaksanakan.

Dua contoh di atas adalah sebahagian daripada kes-kes yang dilaporkan. Namun, dipercayai masih terdapat banyak kes yang tidak dilaporkan dan pastinya ini menimbulkan kebimbangan kepada semua. Sampai bila hal ini harus berlaku dan sampai bila kita akan bersikap sambil lewa terhadap air yang menjadi sumber kelangsungan hidup?

Sikap tidak acuh ini sebenarnya menggambarkan nilai kita terhadap sumber air tersebut. Walaupun manusia amat memerlukan air, namun kita meletakkan nilai yang amat rendah terhadap sumber berkenaan. Malah dalam banyak keadaan kita menilai air mahupun sumber alam yang lain berdasarkan kepentingan diri manusia semata-mata.

Misalnya, manusia memerlukan air untuk minum maka air itu penting. Namun, air bukan semata-mata untuk manusia. Terdapat makhluk lain di bumi ini yang juga bergantung kepada air untuk kelangsungan hidup. Namun, berapa ramai yang menyedari hakikat ini?

Oleh itu, membentuk nilai yang betul terhadap alam sekitar amatlah penting. Nilai di sini bukan sahaja merujuk kepada nilai alam dan sumbernya yang boleh digunakan oleh manusia tetapi nilai yang melihat alam serta isinya sebagai ciptaan Allah SWT dan mempunyai hak untuk mendiami bumi sama seperti manusia. Jika manusia tunduk patuh kepada Allah SWT, alam dan isinya juga begitu.

Ini ditunjukkan dalam ayat 18, surah al-Hajj (22), yang maksudnya; Tidakkah engkau melihat semua yang berada di langit dan bumi, juga matahari, bulan, bintang, gunung-ganang, pokok-pokok dan haiwan serta ramai manusia bersujud kepada Allah.” Maka, adakah wajar kita merampas hak alam dan isinya itu?

Maka, sesuatu perlu dilakukan bagi memastikan kuantiti dan kualiti air berada pada tahap yang tertinggi sehingga boleh digunakan oleh manusia dan makhluk hidup lain dalam generasi ini mahupun generasi akan datang. Bagi tujuan itu, perubahan cara hidup masa kini perlu dilakukan segera dan harus dilakukan secara bersama bagi memastikan kesan yang signifikan.

Salah satu perubahan adalah perubahan mikro yang melibatkan pengguna secara langsung. Dianggarkan setiap orang menggunakan antara 300 hingga 350 liter air sehari. Jika jumlah ini didarabkan dengan jumlah penduduk dunia yang mencecah tujuh bilion, maka boleh dibayangkan betapa banyak air diperlukan oleh manusia dalam sehari.

Dengan itu, pengguna hendaklah memberi tumpuan kepada pengurangan dan penjimatan serta mengamalkan penggunaan berhemah. Tahukah anda bahawa mengepam tandas dicatatkan sebagai aktiviti yang paling banyak menggunakan air di rumah dan ini diikuti dengan penggunaan air untuk mandi? Atas alasan inilah maka pada masa kini, tandas jimat air dan ruang mandi (pancuran air) menjadi fokus utama pemuliharaan air di rumah.

Perubahan makro, iaitu perubahan pada skala besar pula memerlukan perancangan teliti serta kerjasama semua pihak. Dalam konteks ini, alam seharusnya dilihat sebagai satu sistem yang besar dan rencam. Oleh itu, satu-satu pembangunan dirancang mesti boleh menjangkakan kesan alam sekitar bukan sahaja di tapak pembangunan tetapi merangkumi perubahan persekitaran tapak pembangunan secara menyeluruh.

Ini kerana pembangunan tanah di satu kawasan sebenarnya boleh memberi impak bukan sahaja terhadap kawasan tanah tersebut tetapi turut memberi kesan kepada sumber lain seperti air dan udara. 

Sebagai kesimpulan, perubahan adalah kata kuncinya di sini. Oleh itu, marilah sama-sama kita berubah untuk memastikan kesejahteraan sumber air.


                                                   Image result for fungsi air



SUMBER: http://www.utusan.com.my/rencana/menghargai-air-sebagai-sumber-kehidupan-1.69799

Monday, 2 May 2016

CIRI-CIRI AIR

Formula kimia bagi air adalah H2O, yang membawa maksud setiap molekul air mengandungi dua atom hidrogen dan satu atom oksigen. Hubungan terjadi antara elektron-elektron yang membentuk bagian luar atom dan merupakan mata rantai kuat yang dinamakan ikatan kovalen.

Molekul air boleh diuraikan kepada unsur asas dengan mengalirkan arus elektrik melaluinya. Proses ini yang dikenali sebagai elektrolisis menguraikan dua atom hidrogen menerima elektron dan membentuk gas H2 pada katod sementara empat ion OH- bergabung dan membentuk gas O2 (oksigen) pada anod. Gas-gas ini membentuk buih dan boleh dikumpulkan.

Air juga merupakan bahan pelarut semesta. Ini disebabkan molekul air terdiri daripada dua atom hidrogen bergabung dengan satu atom oksigen pada sudut 104.45 darjah antara keduanya. Struktur ini menjadikan molekul air mempunyai caj positif di sebelah atom hidrogen dan negatif di sebelah atom oksigen. Oleh yang demikian, molekul air adalah dwikutub.

Ciri suhu. ketumpatan yang unik membenarkan pembentukan persekitaran berstratum yang akhirnya mengawal ciri-ciri kimia dan biologi persekitaran akuatik. Lapisan yang terbentuk hasil daripada tegangan permukaan yang tinggi membolehkan sesetengah organisma menggunakannya sebagai permukaan untuk hidup.

Keupayaan air untuk melarut bahan-bahan lain membolehkan tumbuh-tumbuhan akuatik mendapat nutrien yang diperlukan untuk proses fisiologi daripada air di sekelilingnya. Tumbuh-tumbuhan akuatik seperti alga hijau tidak memerlukan struktur khusus untuk menyerap nutrien atau sistem pengangkutan yang kompleks seperti yang ditunjukkan oleh tumbuhan daratan untuk mengangkut bahan-bahan ini ke tisu yang memerlukannya.


Air dan mineral boleh memasukinya melalui sebarang bahagian jasad tumbuhan ini dengan cara resapan sahaja. Bahan-bahan ini akan meresap masuk melalui selaput sel yang terdedah kepada persekitaran luar. Bekalan oksigen yang diperlukan oleh haiwan dan organisma lain juga mampu dibekalkan disebabkan oleh keupayaan melarut ini.





                                                         



SUMBER: https://ms.wikipedia.org/wiki/Air

Sunday, 1 May 2016

AIR

Air juga mampu wujud dalam 3 bentuk :-Air (H2O) merupakan sebatian kimia yang berada dalam bentuk cecair pada tekanan biasa dan pada suhu bilik. Air meliputi 70% daripada permukaan bumi. Setiap kehidupan di bumi ini memerlukan air untuk terus hidup.

Ais (pepejal) <=> Air (cecair) <=> Wap (gas)


Di muka bumi ini, air merupakan bahan yang paling kerap ditemui terutama dalam bentuk cecair. Walau bagaimanapun, terdapat juga kuantiti air yang besar yang wujud dalam bentuk gas (wap) di atmosfera dan dalam bentuk pepejal (ais dan salji).



SUMBER: https://ms.wikipedia.org/wiki/Air